PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata,
kerajaan tiada hak menolak 2% gaji suami untuk dicarumkan dalam Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas nama isteri, melalui penggubalan
undang-undang.
Ini kerana kata Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, gaji suami adalah milik sendiri.
“Tanpa izin pekerja, tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk memotong apa-apa dari gaji pekerja,” katanya kepada FMT hari ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail dilaporkan berkata, pihaknya akan menemui KWSP untuk menyerahkan
pelan tindakan bagi cadangan memberi caruman KWSP kepada suri rumah.
Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat
berkata, ia bertujuan merealisasikan manifesto Pakatan Harapan (PH)
untuk caruman KWSP kepada suri rumah melalui pemotongan 2% gaji suami.
“Saya akan bertemu CEO KWSP bagi membincangkan mekanisme siapa yang
layak, bagaimana 2% daripada gaji suami diambil untuk isteri akan dikaji
secara mendalam, sebab ia melibatkan dana kerajaan RM50 pada sesiapa
layak menerima.”
Solomon menggesa kerajaan mempertimbangkan kebajikan suami yang merupakan pencari nafkah tunggal dan berpendapatan rendah.
“Kerajaan perlu mengkaji justifikasi supaya tidak membebani suami,
terutamanya dengan upah semasa golongan isi rumah berpendapatan rendah
(B40) dan pertengahan (M40).”
Beliau turut mencadangkan kerajaan PH mengkaji caruman KWSP sebanyak
RM50 untuk ibu tunggal dan suri rumah yang suami mereka tidak bekerja.
“Kami mengalu-alukan pengenalan KWSP kepada suri rumah dengan
sumbangan kerajaan untuk menyediakan keselamatan dengan cara simpanan
untuk masa depan mereka, yang merupakan niat mulia.
“Kerajaan juga harus memperuntukkan RM50 kepada suri rumah dengan suami yang tidak bekerja.”
Katanya, cadangan itu memerlukan banyak perbincangan kerana ada perasaan bercampur-campur.
“Oleh itu, perbincangan secara menyeluruh mengenai cadangan kerajaan
di kalangan pemegang berkepentingan akan memberi manfaat kepada
keputusan akhir.”