Seorang pemandu perkhidmatan GrabCar, Ezuan Hadi, 39, menawarkan pengangkutan percuma kepada golongan asnaf serta orang kurang upaya (OKU) dengan menaiki kereta Toyota Vios, ke mana-mana destinasi yang ingin dituju sejak 1 Ramadan lalu di sekitar daerah ini dan Kota Bharu. - Foto Attirmidzie Rahman
PASIR MAS: Seorang pemandu perkhidmatan GrabCar di sini, menawarkan pengangkutan percuma kepada golongan asnaf serta orang kurang upaya (OKU) di sekitar daerah ini.
Penumpang akan dibawa menaiki Toyota Vios ke mana-mana destinasi tanpa dikenakan bayaran.
Pemandu GrabCar Ezuan Hadi, 39, berkata, idea membawa penumpang secara percuma tercetus apabila sering membawa ibu tunggal dan OKU menggunakan perkhidmatan e-panggilan itu.
Katanya, melihat kesusahan yang dialami golongan istimewa itu, mendorongnya menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada mereka.
"Perkhidmatan percuma ini bagi membantu golongan asnaf atau OKU untuk ke destinasi yang ingin dituju khususnya ke klinik atau hospital kerana masih ramai dalam kalangan mereka yang memerlukan pengangkutan.
"Jadi saya menawarkan perkhidmatan ini bermula awal Ramadan ini kepada mereka dari Pasir Mas untuk ke Kota Bharu atau ke mana-mana sahaja destinasi mereka mahukan.
"Selagi ada permintaan, saya akan teruskan untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurutnya, dia berharap usaha ini dapat membuka mata lebih banyak pihak untuk memberi perhatian kepada mereka yang memerlukan terutama golongan asnaf dan OKU.
"Buat masa ini saya akan cuba membantu seberapa ramai yang termampu memandangkan saya bergerak secara berseorangan.
"Selepas ini saya akan cuba menubuhkan satu komuniti pemandu percuma di beberapa daerah bagi meluaskan usaha ini," katanya.