SHAH ALAM - Pas mendedahkan parti itu tidak kisah gagal membentuk kerajaan selepas tewas dalam PRU14 lalu.
Melalui sebuah klip video yang tular di media sosial hari ini, dalam nada gurau, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas mahu kerajaan Pakatan Harapan melunaskan dahulu hutang negara sebelum parti Islam itu merampas pemerintahan pada PRU15.
“Hutang banyak, nak bayar macam mana? Biarlah orang lain ambil dulu, selesaikan hutang Malaysia. Lima tahun lagi kita ambil Malaysia,” katanya ketika berucap dalam klip video berkenaan.
Tambah Mohd Amar, hutang yang perlu diselesaikan itu termasuk isu yang membabitkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Selesaikan masalah Malaysia. Hutang semua... 1MDB. Selesai sehingga habis, kita pula kat sana (Putrajaya),” katanya.
Merujuk kebangkitan semula selepas kekalahan Pas di Kelantan pada 1978, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, banyak pembangunan yang dilakukan BN di negeri Serambi Mekah itu dalam tempoh kekalahan Pas sehingga kembali berkuasa pada 1990.
“Serupa kita (Pas) kalah pada 1978, memang kita sedih. Tapi Tuhan ni pandai. dalam tempoh 12 tahun, Dia bagi orang lain memerintah, orang lain buat pembangunan, pejabat siap semuanya…bagi kita balik.
“Kita boleh pakai yang dah siap. Jadi, kita bagi mereka lima tahun untuk selesai masalah,” katanya.